Previous Next

INISIATIF FSTI MELAKSANAKAN PROGRAM KERJASAMA KHIDMAT KOMUNITI ANTARABANGSA DI BAWAH OBJEKTIF STRATEGIK 6(A) UMP 25

Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) telah menjalankan satu inisiatif yang dinamakan Program UMP-UI Ikatan Serumpun bagi melaksanakan Objektif Strategik 6A, UMP 25 di bawah Program kerjasama khidmat komuniti antarabangsa. Program ini dijalankan dengan kerjasama Fakultas Kesehatan Masyarakat, Universitas Indonesia (UI) pada 12-14 Jun 2023. Delegasi UMP melibatkan 6 orang pensyarah FSTI iaitu Dr. Azizan bin Ramli, Dr. Khairiah binti Mohd Mokhtar, Dr. Mohd Najib bin Yacob, Dr. Nor Adila binti Mhd Omar, Dr. Wan Norfazilah binti Wan Ismail, Dr. Nurul Huda binti Abu Bakar dan juga 10 orang pelajar dalam kalangan Tahun 2 dan Tahun 3 di Program Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan Kepujian (BPS).

Bertemakan “Hand in hand towards a Sustainable Tomorrow”, tiga aktiviti telah dilaksanakan bagi memenuhi 3 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu Matlamat Pembangunan Mampan 4 (Pendidikan Berkualiti), Matlamat Pembangunan Mampan 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur), dan Matlamat Pembangunan Mampan 11 (Bandar dan Komuniti Mampan). Aktiviti pertama iaitu AquaCare Sustainability – Conserving Environment for Future Generations diadakan dengan matlamat membantu masyarakat setempat di Usaha Mikro Kecil dan Menengah (UMKM) Citeureup-Bogor Indonesia dalam pengurusan sisa buangan dari tempe. Usaha ini telah mendapat sambutan hangat daripada Camat Citeureup (Dr. Ridwan Said,. S.STP, M.Si), Kepala Desa Citeureup (Marwan Hermawan), dan Kepala Dinas Koperasi dan UMKM Kabupaten Bogor (Asep Mulyana Sudrajat). Demonstrasi penggunaan fertilizer starter baharu hasil kajian penyelidik UMP terhadap sisa buangan daripada tempe diperkenalkan kepada masyarakat setempat dan mahasiswa UI sebagai kajian rintis. Proses kesinambungan pemantauan masih dijalankan sehingga tempoh 1 hingga 3 bulan selepas aktiviti ini selesai sebagai usaha memastikan kelestarian aktiviti ini.

Manakala, aktiviti kedua iaitu HazAway Solutions – Providing Sustainable Workplace dilaksanakan dengan matlamat membantu Usaha Mikro Kecil dan Menengah (UMKM) dalam pengurusan kesihatan dan keselamatan pekerjaan (KKP) melalui langkah kawalan risiko yang diusulkan oleh para pelajar di Program BPS hasil daripada penaksiran risiko di kawasan kerja. Aktiviti ini telah dijalankan di Pt. Anugrah Yaden Utama, Desa Nagasari. Pemantauan keberkesanan langkah kawalan risiko yang telah dicadangkan oleh para pelajar kepada pihak industri untuk diaplikasi juga akan dikemaskini dalam tempoh 1 hingga 6 bulan selepas tamat aktiviti ini.

Pada masa yang sama, aktiviti ketiga yang dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa daripada kedua-dua universiti iaitu Youth-Safety UMP-UI Network telah diadakan bagi memberi pendedahan kepada para pelajar dalam membuat perancangan dan pentadbiran tempat kerja dan alam sekitar untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 9 dan 11. Topik perbincangan iaitu Occupational Safety and Health 5.0: Deployment and Achieving the Sustainable Development Goals telah diketengahkan oleh mahasiswa daripada kedua-dua universiti bagi pengisian sesi berbentuk forum tersebut.

 

Laporan berita disediakan oleh Dr. Khairiah binti Mohd Mokhtar, Pensyarah FSTI


Print   Email