FSTI & SKLB bekerjasama memantapkan ilmu sains untuk murid sekolah rendah

 

KUANTAN - Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang menerima kunjungan delegasi Sekolah Kebangsaan Liang Batu (SKLB) pada 19 Februari 2018 yang terdiri dari 22 pelajar sekolah, dan 13 guru-guru dan ibu-bapa; sebagai salah satu usaha pemantapan ilmu sains & teknologi di kalangan pelajar sekolah rendah dan juga pelajar-pelajar FSTI. Delegasi telah disajikan dengan demonstrasi sains superkonduktor oleh Dr. Muhammad Hafiz bin Mazwir yang bertujuan untuk menarik minat para pelajar sekolah rendah untuk mempelajari matapelajaran sains dengan lebih tekun.
 
Selain dari itu, dua buah mikroskop buatan tangan para pelajar FSTI kepada SKLB sebagai pemangkin pembelajaran kursus sains. Menurut Dr. Saifful Kamaluddin Muzakir, mikroskop yang dibangunkan dengan kos RM20 ini amat berguna sebagai alat bantu mengajar di sekolah-sekolah rendah dan seterusnya mampu untuk mengurangkan beban pembelian peralatan yang mahal. Pihak SKLB juga berhasrat untuk memohon satu sesi penerangan di sekolah untuk pembangunan mikroskop ini agar dapat dijadikan hasil inovasi FSTI bersama para pelajar SKLB, untuk dipertontonkan di galeri sekolah.
 
Di akhir lawatan ini, hasil kajian kualiti air sungai Kampung Liang Batu juga telah diserahkan kepada Cikgu Fadzil bin Semen selaku wakil JKKK Kampung Liang Batu oleh ketua penyelidik FSTI, Dr. Nazikussabah binti Zaharuddin. Melalui hasil kajian ini, telah dibuktikan bahawa air sungai tersebut tidak dicemari oleh logam-logam berat, serta selamat untuk digunakan oleh penduduk. Air sungai tersebut telah diambil ketika berlangsungnya program Saintis Turun ke Desa 2017 yang dianjurkan di Kampung Liang Batu pada 10 - 12 November 2017.
Sempena lawatan ini juga, hadiah pertandingan esei Saintis Turun ke Desa 2017 telah disampaikan kepada pelajar-pelajar SKLB.
 
SKLB FIST
 
SKLB FIST2
 
SKLB FIST3
 
SKLB FIST4
 
 
 

Print