Program Jalinan Inovasi UMP – Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 2

 

2 Ogos – Program Kimia Industri, Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI), UMP telah menerima kunjungan lawatan dari Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 2, Pasir Gudang, Johor pada 2 hingga 3 Ogos 2018. Seramai 36 pelajar beserta 5 orang guru pengiring telah mengikuti lawatan tersebut. Lawatan ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar akan kepentingan ilmu sains dalam kehidupan seharian dan juga di masa hadapan.  Terdapat banyak aktiviti/modul telah dijalankan sepanjang program berlangsung antaranya, Kitchen Science, Art & Science dan Environmental Science. Aktiviti telah berjalan dengan lancar dan pelajar-pelajar kelihatan gembira dan seronok dengan program yang telah dijalankan.

Dilakukan dalam persekitaran makmal sebenar dan dibantu oleh para pensyarah kimia dan staf-staf teknikal, para pelajar telah menimba pengalaman melakukan eksperimen sains yang membantu mereka memahami sains di sebalik bahan-bahan yang biasa dijumpai di sekeliling mereka. Selain itu, para pelajar berpeluang membuat sendiri bahan-bahan terproses seperti sabun di samping mempelajari secara praktikal proses penghasilan bahan-bahan ini. Tidak dilupakan, sesi dua hari satu malam ini turut berusaha menerapkan kesedaran tentang kepentingan memelihara alam sekitar. Sesi malam pula telah dimanfaatkan dengan slot motivasi dan kesedaran bagi menyentuh keperluan kecerdasan emosi dan kecerdasan spiritual para pelajar. Aktiviti ceramah ini telah disampaikan oleh Puan Haslinda @ Robita Bt. Hashim dari Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK), UMP.

Pihak FSTI berterima kasih atas kunjungan sekolah Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 2 dan berharap pengalaman ini dapat memberi manfaat besar kepada para pelajar dari aspek pembelajaran formal dan juga aspek kesedaran sebagai insan berilmu dan bertanggungjawab. Moga aktiviti berunsurkan sains, teknologi, kejuruteraan and matematik (STEM) seperti ini dapat diteruskan dalam melahirkan pakar-pakar saintis di masa akan datang.

sktr2pg.blogspot.com

#sktamanrinting2

GOPR6178

 

DSC 0159

Print