Kerjasama FIST-PPD tingkatkan prestasi STEM

 

KUANTAN, 25 April – Satu perbincangan di antara wakil Fakulti Sains & Teknologi Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama Tuan Haji Mohd Razali bin Mustafar, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan telah diadakan untuk merangka strategi meningkatkan prestasi para pelajar di sekolah-sekolah sekitar Kuantan di dalam subjek Sains dan Matematik.
Hasil dari perbincangan ini, program Lighting up the Community akan dianjurkan di Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan pada 5 Mei 2017. Menurut Dr. Saifful Kamaluddin bin Muzakir, pensyarah kanan UMP, program ini adalah bertujuan untuk menarik minat pelajar dalam bidang Fizik dan Teknologi Bahan dengan kaedah yang praktikal. Para pelajar akan di ajar cara memasang sistem panel suria untuk memberi pencahayaan di kawasan-kawasan yang gelap di sekitar sekolah, serta diberi penerangan teori di sebalik teknologi tersebut.
Menurut Tuan Haji Mohd Razali, inisiatif ini adalah sangat baik serta merupakan strategi serampang dua mata; selain menarik tumpuan, para pelajar memperoleh manfaat dari segi peningkatan keselamatan dan menikmati suasana persekolahan yang lebih kondusif.
Selain itu, satu program lain juga sedang dirancang dengan kerjasama PPD khusus untuk memberi tumpuan kepada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia yang mengambil subjek Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik di bawah anjuran Fakulti Sains & Teknologi Industri.
Tambah Tuan Haji Mohd Razali lagi, usaha ini adalah selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu mengukuhkan kualiti pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di dalam kurikulum pembelajaran pelajar sekolah menengah untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, berhemah tinggi, kreatif, inovatif dan kompetitif.
 
ppd
 
ppd2

Print