FSTI, UMP DAN JPN PAHANG BERGANDING TARIK MINAT PELAJAR DALAMI ILMU SAINS, TEKNOLOGI DAN MATEMATIK

Kuantan, 3 Julai 2016 – Isu penurunan bilangan pelajar sekolah menengah yang mengikuti aliran sains, teknologi dan matematik hangat dibincangkan oleh pelbagai pihak; memberi impak kepada kemasukan pelajar ke kursus-kursus berasaskan sains dan teknologi di universiti awam (UA), Malaysia. Justeru itu, Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPN Pahang) berhasrat untuk bekerjasama menarik minat pelajar-pelajar sekolah menengah untuk menceburi bidang sains, teknologi dan matematik; di dalam satu mesyuarat di UMP Gambang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kecil Promosi dan Publisiti FSTI, Dr. Saifful Kamaluddin Muzakir, FSTI dan JPN Pahang bakal menganjurkan sebuah program yang menyediakan peluang pembelajaran sains, teknologi dan matematik melalui pendedahan kepada teknologi, inovasi berasaskan projek dan penggunaan peralatan terkini kepada pelajar-pelajar sekolah menengah.

Ketua Penolong Pengarah (Matematik), JPN Pahang Encik Abdul Kamaludin Hj. Abdul Hamed berkata, program hasil dari perkongsian maklumat dan sumber FSTI-JPN ini bakal mengikis stigma negatif terhadap kursus-kursus sains, teknologi dan matematik. Apa yang perlu dilakukan adalah membuktikan bahawa sains, teknologi dan matematik adalah menyeronokkan.

Penolong Pengarah Sains, JPN Pahang Puan Rohana Moin berpendapat, program yang berkonsepkan kem sains tersebut bakal melibatkan guru-guru dari sekolah-sekolah sekitar Pahang sebagai mentor, dibawah bimbingan pensyarah-pensyarah FSTI dan bantuan pelajar-pelajar FSTI sebagai pemudahcara.

Dari sudut lain, Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar FSTI Dr. Roslinazairimah Zakaria menyatakan bahawa, pihak FSTI sentiasa mencari peluang mempromosikan program-program berasaskan sains, teknologi dan matematik melalui pelbagai saluran. Beberapa program lain juga telah dibincang dan bakal melibatkan penyertaan industri, ibu-bapa, guru dan pelajar menengah rendah.

Turut hadir berkongsi ilmu dan membentang rancangan aktiviti di dalam mesyuarat tersebut adalah Encik Muhammad Adam Lee Abdullah (Bioteknologi Industri), Dr. Muhammad Azrin Ahmad (Matematik), dan Puan Nurlin Abu Samah (Kimia Industri).

A

1

8

9

Print