Slot Matematik Kem Saintis Muda 2017 tidak kurang juga meriah!

ksmmatha

Slot STEM Matematik yang disertai oleh 50 orang pelajar tingkatan 1 dan 2 bersempena dengan program Kem Saintis Muda 2017 anjuran Fakulti Sains & Teknologi Industri, UMP dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang telah berjalan dengan jayanya setanding dengan slot STEM subjek yang lain. Belajar ilmu Matematik dengan melakukan aktiviti santai menampakkan impak positif apabila para pelajar memberikan respon yang baik dan kelihatan gembira melakukan aktiviti yang telah diaturkan.

Melalui aktiviti ‘Sudoku’, para saintis muda dapat belajar dan faham dengan lebih nyata tentang konsep cuba dan jaya yang sememangnya sinonim dengan latih tubi dalam subjek Matematik. Aktiviti penyelesaian dalam kumpulan ini begitu seronok disamping dapat memupuk semangat kerjasama pelajar dalam menyelesaikan misi sudoku. Walaupun, permainan Sudoku ini tampak mudah bagi sesetengah orang tetapi hakikatnya tidak semua mampu berfikir secara kritis dalam menyelesaikan misi Sudoku dengan cepat dan tepat.

ksmmathb

Disamping itu, aktiviti diteruskan lagi dengan pengisian program ‘Tangram’. Setiap kumpulan diberikan 3 set tangram yang boleh menghasilakan pelbagai jenis bentuk. Gambar rajah yang perlu dihasilkan tidak mudah dibentuk sekiranya para pelajar tidak mempunyai kefahaman dan daya imaginasi yang tinggi. Hal ini bertepatan dengan ilmu matematik yang memerlukan daya kreativiti dalam memahami permasalahan dan seterusnya mampu menyelesaikan setiap soalan yang diberikan.

Seterusnya, aktiviti ‘Break the Secret Code’ telah menjana pemikiran para saintis muda kita untuk lebih kritis dalam mendapatkan jawapan yang tepat berdasarkan arahan dan klu yang telah diberi. Penutup bagi slot STEM Matematik, pembelajaran santai melalui teknologi tas talian ‘Kahoot’ nampaknya menaikkan lagi semangat para saintis muda untuk jatuh cinta dengan Matematik.

Kesimpulannya, kami berharap dengan aktiviti yang telah dilaksanakan ini mampu memberikan kesan yang positif kepada para peserta untuk lebih mendalami ilmu matematik di waktu akan datang. Pada masa yang sama, kami turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam projek STEM Matematik dan semoga lebih ramai pelajar dapat menyemai rasa suka kepada subjek Matematik. 

 

Print