Sekitar Program Pengenalan Teknologi Nano bersama SMK Seri Mahkota, Kuantan

KUANTAN - Program Teknologi Bahan, Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menganjurkan program Pengenalan Teknologi Nano kepada para pelajar dan guru-guru dari SMK Seri Mahkota. Program yang turut mendapat sokongan dari YB Khairuddin bin Mahmud (DUN Pulau Manis) telah dijayakan selama satu hari. Para peserta disajikan dengan maklumat-maklumat terkini melalui siri ceramah oleh para pensyarah. Menurut Pengarah program, Prof. Madya Dr. Agus Geter Edy Sutjipto, program ini amat bermanfaat untuk menarik minat pelajar untuk menceburi bidang sains dan teknologi selepas tamatnya alam persekolahan peringkat menengah. YH. Prof. Dato' Dr. Mashitah Mohd Yusoff (Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi, UMP) berkata sewaktu perasmian program, aplikasi bidang sains dan teknologi tidak terhad penggunaannya di dalam makmal. Bidang sains juga membuka peluang kepada pengamalnya untuk membuka lembaran ilmu-ilmu baru.

Menurut seorang penceramah program, Dr. Saifful Kamaluddin Muzakir, program ini juga selari dengan hasrat YH. Prof. Dato' Dr. Daing Nasir Ibrahim (Naib Canselor UMP) yang telah memperkenalkan konsep "Communitising Technology"; lalu berfungsi sebagai platform kepada ahli akademik untuk mengembangkan ilmu sains dan teknologi terkini kepada masyarakat sekitar kampus. Prof. Madya Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim (Dekan FSTI) menambah, FIST akan sentiasa menjalankan program-program seperti ini di masa akan datang, nantikan program yang seterusnya yang diberi judul "Saintis Turun ke Desa" yang akan berlangsung di Johor pada 10 hingga 12 November 2017.

Print