Previous Next

Hari Suai Kenal Pelajar Baharu Program Diploma Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan dan Program Diploma Sains Industri (2022/ 2023)

Seramai 120 pelajar baharu yang mendaftar untuk program Diploma Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan dan Program Diploma Sains Industri (2022/2023) telah turut serta menghadiri slot sehari bersama staf Fakulti Sains dan Teknologi Industri pada 3hb Ogos 2022. Slot ini turut dihadiri oleh staf pengurusan fakulti dan penasihat akademik kepada pelajar yang mendaftar.

 Pada awal slot ini dijalankan, Dekan fakulti Profesor Madya Dr. Saifful Kamaluddin Muzakir @ Lokman memberi ucapan kata-kata aluan dan penerangan berkaitan program-program dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh fakulti seperti ‘global classroom’ dan program pertukaran pelajar ke luar negara. Beliau bersama Timbalan Dekan (Akademik & Hal Ehwal Pelajar), Dr. Mohd Fazli Bin Farida Asras turut memberi kata-kata perangsang dan semangat kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk menuntut ilmu dan terlibat secara aktif dalam aktiviti- aktiviti universiti.

 Sesi seterusnya diteruskan dengan penerangan umum berkaitan sistem penasihatan akademik yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Jaya Vejayan a/l Palliah selaku Penyelaras Jawatankuasa Penasihatan Akademik dan Kemahiran Insaniah. Para pelajar dimaklumkan berkaitan peranan pelajar dan penasihat akademik dalam sistem penasihatan akademik di UMP.

 Seterusnya, pelajar-pelajar tersebut dibahagikan mengikut program masing-masing. Semasa sesi ini, Ketua Program Diploma Sains Industri, Dr. Nurul 'Azyyati Binti Sabri  dan Ketua Program Diploma Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan, Dr. Izirwan Bin Izhab memberikan penerangan berkaitan struktur program dan penilaian kursus. Para pelajar tersebut kemudian diperkenalkan dengan staf dan penasihat akademik program.

 Di akhir program, para pelajar terlibat pula dengan aktiviti ‘explore race’ dan aktiviti penanaman pokok di sekitar universiti. Aktiviti ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan pelajar bersama barisan staf dan rakan-rakan yang baharu dikenali serta untuk mengenali kawasan persekitaran universiti terutamanya di kampus Gambang.

 Acara sebegini merupakan satu kemestian dan kebiasan diadakan di institusi-institusi pendidikan bagi memberi peluang pelajar baru mengenali fakulti dan aktiviti pengajaran & pembelajaran (P&P) secara menyeluruh sebelum memulakan kuliah. Pada akhir sesi suai kenal ini boleh dirumuskan pelajar-pelajar baru telah beramah-mesra dan selesa bersama sesama sendiri. Jawantankuasa Kecil Penasihatan Akademik & Kemahiran Insaniah ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua kakitangan dan ahli-ahli kelab SCITEX yang menjayakan acara ini. 

Berita disediakan oleh Dr. Nazikussabah bt Zaharudin & Prof. Madya Dr. Jaya Vejayan a/l Palliah


Print   Email