Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Tahun 2022 anjuran Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pahang

Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Tahun 2022 anjuran Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pahang

Seramai empat (4) orang staf akademik daripada Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di bawah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FIST), Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah dijemput untuk menyampaikan ceramah kepada peserta dalam Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Tahun 2022 anjuran Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pahang. Seminar yang dirasmikan oleh Pengarah JKKP Pahang, YBrs En Ahmad Fauzi bin Awang ini telah diadakan pada 28 September 2022 bertempat di Kompleks Dagangan Mahkota (BCIC) Indera Mahkota Kuantan secara bersemuka dan atas talian melibatkan lebih 400 orang peserta.

Jemputan rasmi JKKP Pahang ini merupakan satu penghormatan kepada pihak fakulti yang diwakili oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Pascasiswazah) Ts. Dr. Azizan Ramli dalam usaha mempromosikan peluang melanjutkan pengajian di FIST serta latar belakang kepakaran penyelidik dalam bidang berkaitan KKP kepada wakil majikan dan pekerja yang hadir dalam seminar kali ini. Fokus utama ceramah yang dibentangkan dalam seminar kali ini selari dengan keperluan Pelan Induk KKP 2021 – 2025 OSHMP25 di bawah strategi 6 iaitu “Pemantapan KKP Melalui Teknologi”. Turut serta dalam seminar kali ini ialah Timbalan Pengarah Occupational Safety and Management Unit (OSHMO) UMP, Ts. Mohd Marzuki bin Mohamed.

Dr. Norhidayah binti Abdull selaku penceramah pertama menyampaikan topik bertajuk “Paradigm Shift in OSH Through Technology: A Future Outlook” yang berkisarkan inovasi terkini dan aplikasinya dalam meningkatkan keberkesanan pengurusan KKP di tempat kerja. Topik kedua bertajuk “Neuroimaging Technology and How We Use It to Reveal the Mysteries of Mind at Work” disampaikan oleh Dr. Mohd Khairul Izamil bin Zolkefley di mana penceramah menerangkan bagaimana prestasi otak boleh ditingkatkan menggunakan teknologi. Seterusnya, topik ketiga disampaikan oleh Ts. Dr. Hanida binti Abdul Aziz berkenaan sistem yang dibangunkan melalui kajian dengan tujuan pematuhan kepada undang-undang iaitu “A Semi Quantitative Chemical Expert Tool for Occupational Safety and Health (Use and Standard of Exposure of Chemical Hazardous to Health) Regulations 2000”. Topik terakhir seminar kali ini bertajuk “Current and Future Trends of Digitalization in Fire Safety: Opportunities and Challenges” yang disampaikan oleh Dr. Nurud Suria binti Suhaimi berkisar tentang inovasi dan teknologi dalam keselamatan kebakaran bangunan dan operasi menyelamat serta memadam kebakaran.

Seminar kali ini merupakan platform yang baik bagi memantapkan ilmu pengetahuan dan keperluan untuk mengubah pelaksanaan KKP traditional kepada yang lebih maju selari dengan kepesatan dunia digital abad ke 21 ini dan diharap FIST serta UMP dapat terus bekerjasama dalam program-program yang bakal dianjurkan oleh kedua pihak pada masa akan datang.  

 Laporan ini disediakan oleh: Dr. Nurud Suria binti Suhaimi.

 

 


Print   Email