Previous Next

Hari Keluarga dan Majlis Makan Malam Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) 2023

Pada 13 Januari 2024 (Sabtu) telah berlangsung Hari Keluarga dan Majlis Makan Malam Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) 2023. Program tahunan ini telah dianjurkan dengan kerjasama pelajar-pelajar Tahun 2 Diploma dan Sarjana Muda Program Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) UMPSA. Program ini bertujuan untuk memupuk ukhuwah dan membina semangat kerjasama antara pelajar dan staf serta meraikan pelajar tahun akhir yang akan menjalani Latihan Industri pada semester berikutnya sebelum menamatkan pengajian di UMPSA sebagai kenang-kenangan. Program terbahagi kepada dua sesi iaitu Hari keluarga pada sebelah siang dan Majlis Makan Malam, telah berlangsung meriah dan diisi dengan aktiviti-aktiviti menarik dan menghiburkan.

Hari Keluarga telah berlangsung seawal 7.30 pagi bertempat di Stadium Mini UMPSA Gambang dan dimulakan dengan acara Zumba dan Tarik tali sebelum pelajar bergerak Ke Ruang Legar Blok W melalui acara Briskwalk “5000 steps” di laluan yang ditetapkan. Setelah tiba, acara diteruskan dengan Pertandingan Memasak, Treasure Hunt, Pertandingan Mewarna dan Sukan Rakyat seperti Batu seremban, Baling Selipar dan Origami yang turut disertai pelajar dan staf.

Pada sesi kedua, Majlis Makan Malam bermula pada jam 8.00 malam bertemakan “Sarong” bertempat di Astaka UMPSA Gambang, telah berlangsung dengan meriah dan warna-warni. Sesi majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Pengarah Program Hari keluarga dan Majlis Makan Malam OSH, Cik Karmila Izz Zayani Binti S.M. Fadli. Seterusnya, telah berlangsung segmen belasungkawa bagi mengenang Arwah Ts. Encik Mohamad Ezuan Bin Abdul Jalil. Seisi dewan turut bersedih dan merasai kehilangan permata Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UMPSA ini. Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan ringkas daripada Ketua Program Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Dr. Mohd Shahril bin Abu Hanifah dan disusuli tayangan montaj, persembahan pelajar, sesi penyampaian hadiah bagi pertandingan-pertandingan semasa Hari Keluarga dan cabutan bertuah. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar pada jam 10.45 malam.

Semoga program ini dapat diteruskan dan mendapat sokongan dimasa akan datang. Pihak program merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan acara ini.

Berita disediakan oleh Cik Nurliyana Moh Hussin, Pensyarah Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, UMPSA.


Print   Email