Previous Next

Program Khidmat Sosial dan Perkongsian Ilmu Unit Teknikal Fakulti Sains dan Teknologi Industri, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah di SMK (P) Methodist Kuantan.

Pada 20 September 2023 (Rabu) yang lalu, Program Khidmat Sosial dan Perkongsian Ilmu telah dijalankan oleh Unit Teknikal Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist, Kuantan. Program seumpama yang julung kali dianjurkan oleh Unit Teknikal Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) ini melibatkan seramai 14 orang staf Unit Teknikal termasuk Ketua Teknikal telah mendapat kerjasama Pengetua, Guru Sains dan Pembantu Makmal di SMK(P) Methodist, Kuantan.

Program dimulakan sekitar jam 9 pagi di Makmal Biologi SMK (P) Methodist oleh pengacara majlis dengan ucapan alu-aluan Pengetua SMK (P) Methodist iaitu Pn Josephine Hezrin Binti Azhar, diikuti oleh ucapan dari Ketua Teknikal FSTI iaitu Dr Kamrul Fakir Bin Kamarudin. Sesi mengenalkan diri antara 14 orang staf Unit Teknikal FSTI yang hadir dengan 6 orang Guru Sains dan 3 orang Pembantu Makmal berjalan sebelum sesi bergambar. Acara menyampaikan plak kenangan oleh Ketua Teknikal FSTI kepada Pengetua dan pemberian sijil penghargaan oleh Pengetua kepada Ketua Teknikal dibuat selepas sesi bergambar antara semua staf teknikal dan pihak sekolah yang terlibat.

Aturcara diteruskan dengan perkongsian ilmu bertajuk Tatacara Pengurusan Bahan Kimia oleh Pegawai Sains Kanan, Ts. Hairunnisa Binti Osman diikuti Tatacara Pengurusan Sisa Buangan Kimia oleh Pegawai Sains, En. Ikram Bin Safiee kepada para Guru Sains dan Pembantu Makmal sekolah. Perkongsian ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran warga sekolah mengenai kepentingan keselamatan dan kesihatan (OSH) di sekolah, memupuk budaya kerja selamat dan persekitaran yang kondusif di kawasan sekolah, serta mengurangkan risiko kemalangan atau insiden yang boleh berlaku di sekolah.

Aktiviti utama seterusnya dijalankan di Makmal Kimia sekolah tersebut yang telah dikenalpasti untuk dibantu pengurusannya memandangkan bahan kimia paling banyak ditempatkan di stor makmal tersebut. Antara aktiviti yang dijalankan ialah pemeriksaan keberkesanan kebuk wasap, memindahkan bahan kimia dan sisa bahan kimia dari kebuk wasap, mengasingkan sisa bahan kimia, mengeluarkan semua botol bahan kimia kemudian membersihkan dan menyusun semula botol bahan kimia mengikut jenis hazad dan abjad, melabel rak, serta membuat susun atur semula alat radas. Penerangan cara pengurusan bahan kimia, sisa bahan kimia dan stor turut dikongsikan kepada para guru dan pembantu makmal sekolah semasa aktiviti berlangsung bagi membantu mereka memahaminya dengan lebih jelas. Program tamat selepas kerja-kerja penyusunan semula bahan-bahan kimia dan alat radas serta pembersihan stor makmal selesai.

Diharap dengan kejayaan program ini, moto ‘Teknikal Bergerak Bersama Komuniti’ dapat diteruskan dengan Program Khidmat Sosial dan Perkongsian Ilmu seumpamanya pada masa akan datang untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

 

Berita disediakan oleh Puan Nurul Salma Munirah Binti Ruslan, Penolong Pegawai Sains FSTI


Print   Email