Previous Next

Taklimat Keselamatan Makmal kepada Pelajar Baharu Program Diploma Sains Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), UMPSA.

Pada hari Isnin, 18 September 2023 yang lalu, Kluster Akademik, Unit Teknikal Fakulti Sains dan Teknologi Industri telah menganjurkan satu sesi taklimat Keselamatan Makmal kepada Pelajar Diploma Sains ambilan 2023/2024. Taklimat ini telah disampaikan oleh Puan Norshahida Zaidon, Pegawai Sains FSTI.

Seramai 55 orang pelajar telah terlibat dan program taklimat ini diadakan di bilik Mini Theater, Makmal Fakulti Sains & Teknologi industri. Taklimat telah berlangsung selama dua jam di mana sesi pertama adalah taklimat di Mini Theater dan sesi ke 2 adalah lawatan ke makmal FSTI bagi memberikan gambaran yang lebih jelas berkenaan peralatan keselamatan yang berada di makmal.

Tujuan utama program ini dilaksanankan adalah untuk memberikan maklumat berkenaan peraturan-peraturan keselamatan yang perlu dipatuhi semasa melakukan amali makmal. Selain itu juga, memberikan maklumat berkaitan peralatan keselamatan makmal yang berada di makmal serta pemakluman berkenaan “Evacuation Plan” sekiranya berlaku kemalangan di makmal FSTI.

Taklimat ini juga merupakan salah satu keperluan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, di mana Seksyen 15 menyatakan bahawa “pihak majikan perlu memberikan informasi, arahan dan kursus berkaitan keselamatan di tempat kerja  kepada pekerja”. Oleh itu, taklimat ini diadakan sebelum pelajar-pelajar ini memulakan Latihan amali makmal pada semester I 2023/2024 iaitu pada bulan Oktober 2023.

Semoga para pelajar yang terlibat mendapat manfaat daripada taklimat keselamatan ini dan dapat menjalani latihan amali dengan selamat di Makmal FSTI.

Pecah kaca, Pecah Gelas,

Peraturan dibaca, Tanggungjawab digalas.

 

Berita disediakan oleh Puan Norshahida Zaidon, Kluster Pengurusan Makmal, Unit Teknikal FSTI.


Print   Email